Hebatnya Budak Itu!!

Di zaman Bani Umaiyah dahulu terdapat seorang raja yang sangat terkenal kerana sifat penyantun,adil dan merendah diri. Nama raja itu ialah Khalifah Umar bin Abdul Aziz.


Pada suatu hari,ramai wakil dari jajahan tahluknya datang menghadap baginda bagi melaporkan keadaan di tempat masing-masing. Jajahan Hijaz, salah satu daripada jajahan tahluk khalifaf Umar Abdul Aziz telah menghantar seorang budak sebagai wakilnya. Maka setelah semua perwakilan hadir,bentara dalam pun mempersilakan baginda bertitah. Setelah bertitah baginda pun menitahkan perwakilan dari Hijaz supaya berucap terlebih dahulu.

Maka perwakilan Hijaz pun bangun dengan hormat. Apabila melihat seorang budak yang bangun,maka khalifaf Umar Abdul Aziz pun berkata,”Hai budak,biarlah orang yang lebih tua berucap terlebih dahulu.” Mendengar itu budak itu lantas menjawab:

“Ya amirul mukminin!Sekelian manusia sebenarnya dipandang daripada dua perkara iaitu hati dan lidahnya. Maka apabila Allah telah mengurnialan kepada seseorang itu lidah yang petah dan hati yang arif lagi bijaksana maka orang itu lebih berhak bersuara.Jika dipandang dari segi umur maka ketahuilah wahai amirul mukminin,ada orang yang lebih berhak duduk di atas tahta tuanku sekarang”.

Kata-katanya yang bernas membuatkan baginda sedar akan kesilapannya lantas baginda berkata:

“Benar katamu wahai wakil yang dihormati. Cakaplah sekarang bagaimana keadaan negerimu!”.Maka budak itu meneruskan,

“Ya amitul mukminin yang kami muliakan. Kami sekelian ini adalah wakil yang mendapat kebahagiaan dan bukan kecelakaan. Kami sekelian ini menghadap tuanku bukan kerana hendak mengadu hal negeri kami itu tidak aman kerana kami telah merasai nikmat kesentosaan hidup di bawah naungan tuanku yang adil. Kami sekelian telah memperoleh apa yang kami mohonkan”.

Khalifaf Umar Abdul Aziz merasa pelik melihat kefasihan dan bijaknya budak yang berucap mewakili negerinya. Baginda pun bertanya:

“Berapakah umurmu wahai wakil yang budiman?”

“Sepuluh tahun tuanku!”

Setelah mendengar jawapan budak itu,baginda pun memerintahkan agar wakil muda itu diberi penghormatan dan martabat yang sewajarnya.

0 comments:

Post a Comment