Perempuan Islam Agung!

Muslimah Solehah
Pada zaman rasulullah saw,ada seorang pemuda bernama Julaibib,seorang yang belum beristeri kerana dirinya kurang menarik dan pendek. Keluarganya pula tidak terkenal seperti orang lain cuma dia termasuk golongan Ansar.


Julaibib suka mendekati wanita dan berbicara dengan mereka tetapi tidak seorang pun yang mahu menerimanya sebagai suami atau menantu. Hal ini diketahui oleh nabi Muhammad saw sehingga baginda kasihan akan nasib Julaibib.

“Wahai fulan,kahwinkanlah aku dengan anak gadismu!”kata nabi saw kepada seorang sahabat baginda.

“Baik dan dengan senang hati!” jawab orang itu.

“Tetapi pinangan ini bukan untuk aku,” kata nabi saw selanjutnya.

“Untuk siapa?”tanya orang itu dengan terkejut sebab menyangkakan nabi saw mengingini anaknya.

“Julaibib”,jawab baginda saw.

“Ya rasulullah,baiklah aku akan musyawarahkan dengan ibunya”kata orang itu lagi. Orang itu segera pulang ke rumahnya. Dalam hatinya timbul pertanyaan bagaimanakah nanti kalau isterinya menerima atau menolak pinangan itu. Amatlah tidak baik bagi seseorang mukmin menolak pinangan nabi besar junjungan manusia. Tetapi dia juga amat berat hati untuk menjodohkan anaknya seterusnya bermenantukan Julaibib. Tentu akan menjadi buah mulut orang kerana sanggup menerima Julaibib,seorang yang tidak laku.

“Nabi saw meminang anak gadis kita” kata orang itu kepada isterinya.

“Baik,dengan senang hatinya” sahut isteri beliau.

“Tetapi bukan untuk diri baginda,untuk Julaibib” jawab lelaki itu lagi.

“Demi Allah!Aku tidak akan mengahwinkan anak aku dengan Julaibib!”Jawab isteri orang itu tegas.

Mendengar itu,lelaki tadi bersegera ingin menemui nabi saw. Namun anak gadisnya yang mendengar perbualan itu sedar bahawa menolak pinangan nabi saw bererti menolak ketentuan nabi saw terus. Dia terus keluar dari biliknya dan berkata,

“Apakah mak dan ayah menolak pinangan nabi saw?Beritahu nabi saw bahawa aku menerima pinangannya kerana aku yakin nabi saw tidak akan mensia-siakan aku”. Begitulah kata-kata anak lelaki itu dengan penuh yakin.

Alangkah tingginya iman gadis itu dan jauh sekali pandangannya. Ia tidak melihat tentang Julaibib itu buruk dan tidak disukai tetapi dia lebih melihat dan menghargai ketentuan nabi saw.

Mendengar kata anak gadisnya itu,lelaki tersebut terus berjumpa dengan rasullullah dan memberitahu baginda badawa pinangannya diterima.

Nabi mengahwinkan gadis itu dengan Julaibib dan berdoa,

“Ya Allah,limpahkanlah keberkahan atas gadis ini dengan sepenuhnya dan janganlah Engkau membiarkannya hidup dalam susah-payah.

Begitulah kisah agung seorang gadis dalam sejarah islam yang lebih menerima ketentuan nabi saw berbanding kehendak dirinya sendiri. Julaibib ini sebenarnya seorang pahlawan yang ulung walaupun buruk rupanya. Dia telah syahid semasa menyertai perang bersama rasulullah. Rasulullah saw sendiri turut serta dalam menguburkan jasadnya. Isterinya menjadi seorang janda yang terhormat sepeninggalannya. Kedua pasangan ini mendapat penghargaan yang tinggi daripada rasulullah sendiri.



“Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi Segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan Dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan; dan Sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan Yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari Akhirat).”-Al Ankabut:64

0 comments:

Post a Comment